Oleh : Abu Bakar Abdul Jalal
PADA hari minggu yang lalu, penulis bersama keluarga berpeluang menonton filem bertajuk Dunkirk.
Sebelum ini penulis mengetahui serba sedikit peristiwa di Dunkirk apabila berkesempatan melawat National Army Museum di London yang berada tidak jauh dengan Stadium Stamford Bridge, yang terkenal dengan pasukan bola sepak Chelsea.
Filem pada awal Perang Dunia Kedua karya Christopher Nolan ini mengisahkan bagaimana 400,000 anggota tentera bersekutu (majoritinya Tentera Darat Britain), terpaksa dipindahkan setelah dikepung Tentera Jerman di Dunkirk, Perancis. Dunkirk adalah sebuah bandar pelabuhan pesisir pantai, menghadap Selat Inggeris.
Filem ini menceritakan bagaimana British Expeditionary Force (Askar British) terpaksa berundur balik ke Britain dan meminta pertolongan Amerika Syarikat (AS) apabila tentera Jerman menakluki Perancis, Belanda, Belgium dan Luxembourg. Namun untuk mengangkut 400,000 anggota tentera darat bukanlah satu perkara mudah dalam masa singkat.
Nolan berjaya menaikkan semangat patriotisme penonton khususnya warganegara United Kingdom (UK) pada saat mereka sedang berdepan masalah Brexit dan keadaan ekonomi Kesatuan Eropah yang tidak menentu.
Adegan terakhir filem di atas gerabak kereta api agak bermakna apabila dua askar Britain yang sedang membaca akhbar berasa hampa kerana terpaksa berundur dari Perancis. Namun mereka disambut oleh orang ramai dengan sorakan. Nolan memaparkan walaupun askar Britain sebenarnya malu kerana mereka tidak mampu untuk menentang tentera Jerman pada awal Perang Dunia Kedua, namun masyarakat umum menyambut mereka dengan rasa syukur dan hati terbuka.
Ulang Tahun ASEAN Ke-50
Tayangan filem Dunkirik di Malaysia pada akhir Julai sangat sesuai kerana pada masa sama kita menyambut Ulang Tahun ASEAN Ke-50. ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 di Bangkok ketika rantau Asia Tenggara sedang menghadapi ancaman komunis. Ketika menandatangani perjanjian itu, Malaysia diwakili Tun Abdul Razak Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Semangat penubuhan ASEAN boleh disamakan dengan penyertaan askar British dalam membantu negara jirannya Perancis menghadapi kemaraan tentera Jerman sewaktu Perang Dunia Kedua.
Masalah penangkapan ikan secara tidak sah, penyeludupan dadah dan pendatang tanpa izin perlu diselesaikan bersama oleh negara jiran. Pengunduran Britain dari Perancis pada awal Perang Dunia Kedua yang akhirnya terpaksa mengheret AS membantu tentera bersekutu di Eropah adalah contoh klasik bagaimana sesebuah negara menggunakan kuasa besar serantau, atau kuasa besar dunia dalam menyelesaikan masalah ekonomi atau pertahanan.
Maka langkah Malaysia menarik pelaburan serta membeli peralatan pertahanan daripada mana-mana kuasa besar serantau atau kuasa besar dunia, mempunyai kesan strategik jangka panjang, sama seperti lawatan Tun Razak ke China pada 1974.
Jika rakyat Britain ketika Perang Dunia Kedua sanggup menggadaikan nyawa mereka belayar menggunakan bot kecil merentasi Selat Inggeris, apakah kita tidak mampu untuk sekadar mengibarkan Jalur Gemilang menjelang Hari Kebangsaan 31 Ogos nanti? Apakah kita terlalu sombong untuk membeli Jalur Gemilang dan mengibarkannya pada kereta atau di tempat kediaman sendiri? Hayatilah prinsip Rukun Negara yang kedua iaitu, kesetiaan kepada raja dan negara.
Menjelang 31 Ogos 2017 ini marilah kita sama-sama bersatu dengan jiwa yang tenang. Sesungguhnya kita hanya ada satu Malaysia , kita menikmati kesenangan pada masa kini kerana pada masa lalu ada yang sudah bersusah payah untuk kita hari ini. Bukannya hidup dalam keadaan yang penuh emosi dan dipenuhi sikap benci kepada sesuatu. Peliharalah keamanan Malaysia dengan semangat patriotik demi masa depan anak cucu kita yang lebih mencabar. Kibarkanlah Jalur Gemilang dan Negaraku Sehati Sejiwa.
Penulis: Exco Majlis Belia Wilayah Perseketuan, Universiti Sains Malaysia.