Tabik kepada tentera Malaysia wira kita

Oleh : Abu Bakar Abdul Jalal

Sudahkah anda tonton filem Black Hawk Down dan Malay Regiment? Filem arahan Ridley Scott pada 2001 itu berdasarkan kejadian sebenar pertempuran di Bakara Market, Mogadishu, Somalia pada 1993. Pertempuran lebih 17 jam, mengorbankan 18 tentera Amerika Syarikat (AS).

Pertempuran itu turut disertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tentera Pakistan di bawah Panji-panji Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (PBB). Misi asal ATM dengan PBB adalah untuk memastikan bantuan makanan dan ubatan disampaikan kepada pihak memerlukan, bukan berperang dengan militia Somalia. Lebih memalukan AS, dua helikopter Black Hawk miliknya ditembak jatuh militia Somalia tidak terlatih yang merasakan kawasan mereka diceroboh. Tentera AS lengkap bersenjata memandang rendah kemampuan militia yang sering gagalkan misi kemanusiaan PBB di bumi yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Akibatnya lebih 70 askar AS cedera parah. Seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) turut gugur, iaitu Koperal Mat Aznan Awang, ahli 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD). Filem Hollywood terkenal mempotretkan mereka wira hebat. Namun Black Hawk Down menyembunyikan ‘wira sebenar’ iaitu pegawai dan anggota ATM yang meredah beribu militia Somalia yang bersembunyi di celah bangunan, menyelamatkan 75 askar AS.

Walaupun hilang seorang perwira bangsa, ATM menimba pengalaman berharga apabila bertempur di kawasan bandar padat penduduk. Kesukaran di medan perang menjadikan ATM semakin matang, empat tahun selepas Parti Komunis Malaya letak senjata. Perkembangan di Somalia dipantau terus Datuk Seri Najib Razak, ketika itu Menteri Pertahanan.

Berbeza dengan filem Malay Regiment yang baru ditayangkan, lebih berkisar operasi penting TDM di sempadan Malaysia-thailand seperti Operasi Gubir di Kedah, pertengahan 1970an. Dalam operasi itu, Kapten Zainal Rashid yang mempunyai jati diri bangsa dan agama tinggi, gugur. Yang turut diceritakan bagaimana helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditembak jatuh komunis, mengorbankan 11 pegawai/anggota ATM. Yang turut terkorban dalam kejadian di Hutan Simpan Ulu Muda, Gubir itu ialah juruterbang, Kapten Choo Yeok Boo dan Sarjan Udara Leong Yee Heong. Sejak TUDM ditubuhkan dan berpisah daripada kawalan British pada 1958, ia satu-satunya insiden helikopter ditembak jatuh.

Filem Melayu menyemai semangat patriotik

Berita Harian pada 1 Disember 1978 melaporkan dari Dewan Rakyat, Setiausaha Parlimen Kementerian Pertahanan ketika itu, Datuk Abdul Jalal Abu Bakar pernah menyatakan, juruterbang TUDM memiliki kecekapan tinggi mengendali pesawat, lantas menolak dakwaan pembangkang yang memperkecil kemampuan TUDM. Beliau menjawab soalan lisan Lim Kit Siang (Ahli Parlimen Petaling).

Walaupun ada kekurangan kesan khas visual dan peralatan ketenteraan 1970-an yang nampak tidak asli seperti nombor siri pada badan helikopter TUDM, usaha Datuk Jurey Latiff Rosli sebagai pengarah patut dipuji kerana hasilkan filem Melayu menyemai semangat patriotik.

Apakah pengajaran dua filem ini? Bukan mudah berdepan musuh agresif dan mempunyai agenda tertentu untuk kalahkan kita. Jika ada pihak terlalu berkehendakkan ‘sesuatu’ seperti kuasa atau negara, pastinya mereka akan bermati-matian memporakperandakan keamanan yang ada dengan apa cara sekalipun.

Pengganas kini berada dalam bentuk maya bagi meracuni fikiran dengan memainkan emosi masyarakat. Apakah kita tidak berfikir panjang serta akan tertipu dengan dakyah dan permainan mereka? Bersyukurlah kerana lebih 66,000 veteran ATM tidak berpencen akan terima RM1,200 setahun di bawah Skim Bantuan Bakti Negara (BBN), Skim Anuiti Veteran (SAVE), penambahan kuota haji dan pelbagai insentif lain berkaitan veteran tentera yang diumumkan Perdana Menteri.

Tanpa peruntukkan kewangan tambahan, mana mungkin semua ini direalisasikan. Ini menepis pandangan Kerajaan Persekutuan kehabisan wang. Terima kasih ATM dan diucapkan Selamat Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia kepada semua warga ATM yang masih berkhidmat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *